Sabtu, 10 Mac 2018

KEMAHIRAN PENYOALAN (MIKROTEACHING)

PENGENALAN

Penyoalan merupakan sebahagian kemahiran pedagogi yang perlu ada pada seorang guru. Dalam hal ini, teknik penyoalan yang berkesan dapat mendorong dan merangsang pemikiran murid-murid. Sehubungan itu, teknik penyoalan adalah satu cara menyampaikan pelajaran yang paling popular dan paling kerap dilakukan oleh guru-guru di sekolah.

Selain itu, penyoalan juga merupakan satu aspek penting yang boleh membawa pelajar kepada aktiviti kognitif aras tinggi. Oleh itu, guru harus mengetahui dan memahami tentang kepentingan soalan dalan pengajaran dan pembelajaran seperti membantu pelajar mengingat semula fakta-fakta dan mencungkil fikiran atau idea pelajar. Hal ini bukan hanya bertujuan menguji atau menilai apa yang diajar, tetapi untuk membuka fikiran dan celik akal murid supaya mereka sedar atau nampak satu konsep atau prinsip baharu yang akan dipelajari.


KONSEP PENYOALAN


Penyoalan merupakan pernyataan atau perlakuan yang memerlukan maklum balas atau tindak balas daripada murid-murid. Penyoalan boleh dilakukan melalui ekspresi muka, isyarat dan konteks fizikal selain daripada penyoalan berbentuk lisan. Penyoalan guru adalah merupakan salah satu bentuk interaksi yang berlaku di dalam bilik darjah. 



Soalan ------> maklum balas ------>  reaksi selepas maklum balas


TUJUAN PENYOALAN 

Berikut adalah antara beberapa tujuan guru menggunakan teknik penyoalan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran:

  • Merangsang penglibatan pelajar
  • Mengulangkaji
  • Merangsang murid untuk berbincang
  • Melibatkan murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif
  • Menguji kebolehan pelajar
  • Menentukan sejauhmana objektif pembelajaran tercapai
  • Menarik minat murid
  • Menilai pengetahuan murid
  • Menyokong sumbangan idea murid
  • Meningkatkan kognitif (kebolehan individu untuk berfikir) dan metakognitif (kesedaran tentang apa yang diketahui dan apa yang tidak diketahui) murid.

PANDUAN UNTUK MENYOAL

  • Pastikan soalan jelas
  • Nyatakan soalan, tunggu 2-3 saat kemudian panggil nama pelajar yang dikehendaki menjawab soalan tersebut
  • Tanya satu soalan pada satu masa
  • Menyoal dengan soalan aras rendah dahulu dan diikuti dengan aras yang lebih tinggi
  • Menggunakan teknik "probing" untuk membantu pelajar menjawab soalan
  • Aras soalan - Mudah ke Sukar (Penggunaan perkataan padat, tepat dan mudah difahami; soaan berfokus kepada satu idea; soalan berfokus kepada lebih daripada satu idea)
  • Alih Hala Soalan - Menghala soalan yang sama kepada murid yang lain.

ARAS-ARAS PENYOALAN

Dalam kemahiran penyoalan, guru hendaklah mempelbagaikan soalan-soalan yang ingin ditanyakan mengikut peringkat aras-aras penyoalan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Dalam buku"A Taxonomy for Learning, Teaching, and Assesing: A Revision of Bloom’s Taxonomy of Educatioanl Objectives" Lorin W. Anderson dan David R. Krathwohl menyusun semula enam peringkat aras-aras penyoalan, iaitu:

  • Mengingat
  • Memahami
  • Mengaplikasikan
  • Menganalisis
  • Mengevaluasi
  • Mencipta 

KESIMPULAN

Kemahiran penyoalan merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mewujudkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Di samping itu, ia dapat dijadikan teras kepada pembinaan konsep-konsep, memberi pernyataan dan melahirkan perasaan, penglibatan dan percaya diri sendiri kepada pelajarr. Melalui teknik penyoalan ini, guru akan menerangkan isi-isi penting agar pelajar dapat memahami serta membolehkan pelajar meningkatkan pemikiran mereka ke tahap yang lebih tinggi.


SUMBER : 


  • Kamarudin Husin, Abdullah Yusof & Mohd Ra'n Shaari. (2011). Pedagogi Bahasa: Amalan Bilik Darjah. Kuala Lumpur: PERCETAKAN SALAM SDN BHD
  • https://www.tes.com/lessons/mI92pMQNInVbMw/teknik-penyoalan
  • https://www.slideshare.net/roslind1/pengajaran-mikro-50427618
  • http://miji75tm.blogspot.my/2011/02/kemahiran-penyoalan.html











Tiada ulasan:

Catat Ulasan